Wednesday, August 16, 2006

CT-Datuk K: Cinta sejati

PETALING JAYA: “Saya bukan perampas suami orang,” kata Siti Nurhaliza ketika ditanya mengenai cakap-cakap segelintir pihak mengenai perkahwinannya dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.

Penyanyi tersohor itu berkata, tuduhan berkenaan terlalu menyakitkan untuk diterimanya kerana perkara sebenarnya berbeza.

Dalam sesi Minum Petang & Ramah Mesra bersama media di Penthouse, Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam, Khalid yang turut hadir, meminta kerjasama media supaya tidak mengeruhkan lagi suasana.

“Apa yang dilakukan demi kebaikan. Justeru, kehadiran kami hari ini (semalam) untuk memberi peluang terbuka menjawab persoalan yang belum terjawab.

“Saya akan cuba setakat yang boleh. Saya harap media ikhlas memberi soalan. Insya-Allah kami ikhlas menjawabnya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Farid Ridzuan; Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Eliza Mohamed; abang Siti, Saiful Bahari dan isterinya, Rozie Abul Razak.

Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K, 47, berkahwin dengan Tengku Zawyah Tengku Izham pada 1986 dan bercerai secara rasmi pada 12 Mac 2005.

Mereka dikurniakan empat anak lelaki, Mohamed Anas Zawawi, 19, Mohamed Adib, 16, Mohamed Asyraf, 14, dan Mohamed Aazief, 8.

Berikut antara soal jawab media bersama Siti dan Khalid.

MEDIA (M): Apakah status Datuk Khalid ketika mula menjalin hubungan dengan Siti?

DATUK K (DK): Sebenarnya saya menantikan soalan ini. Secara jujur dan ikhlas, sebagai orang Islam dengan nama Allah hubungan dengan Siti berlaku selepas bercerai dengan isteri. Perceraian kami tiada kena mengena dengan Siti. Anda boleh mendapatkan fakta daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Tolonglah jangan diperkatakan lagi perkara ini.

Sama ada Siti ada atau tidak, perceraian itu tetap berlaku. Selama ini saya tidak jelaskan kerana tidak ditanya dan ia juga terlalu peribadi.

Tapi nampaknya ia terlalu banyak diperkatakan. Sebenarnya, kami cerai sekali pada 1998 tetapi kerana kasih sayang saya kepada anak serta memberi peluang kedua kepadanya (Tengku Zawyah), kami rujuk semula tiga bulan kemudian.

Kemudian pada 2002 hingga 2003, sekali lagi berlaku masalah dan perselisihan faham sehingga sampai satu peringkat, saya berjumpa guru agama untuk mendapatkan nasihat.

Mereka nasihatkan saya membawa perkara ini ke mahkamah dan biar mahkamah jatuhkan hukum.

Saya akui kesalahan saya tetapi saya bukan menceraikannya tapi perceraian ini berlaku kerana dia melanggar persetujuan bersama. Saya jelaskan di sini bahawa ia bukan berpunca daripada Siti.

M: Komen Siti dituduh perampas suami orang?

SITI: Bagi saya tuduhan itu terlalu menyakitkan kerana perkara sebenarnya berbeza. Kami mula kenal sebagai rakan bisnes dan berjumpa sekadar makan. Ketika itu tiada apa-apa hubungan. Selepas Konsert Royal Albert Hall di London, barulah saya betul-betul mengenalinya. Apapun, saya faham situasi ini (masalah rumah tangga Khalid) dan hanya mampu bersabar dengan tuduhan itu. Saya tahu tiada gunanya melawan.

M: Adakah Siti kenal rapat dengan Tengku Zawyah?

SITI: Saya mengenalinya tetapi tidak rapat dan berjumpa ketika diundang menghadiri majlis makan.

M: Bagaimana hubungan Datuk mula terjalin dengan Siti?

DK: Sebenarnya saya ingin berkongsi rahsia ini dengan semua. Ada satu insiden saya membuat kejutan besar untuk Siti. Satu hari ketika dalam kapal terbang ke Eropah, saya menghubungi Siti melalui telefon kapal terbang. Ia menyentuh hati Siti.

Sebenarnya saya takut meluahkan kata rindu kepada Siti, bimbang hubungan jadi tegang. Bukan kerana Siti garang tetapi saya segan.

M: Bagaimana reaksi Siti apabila menerima panggilan itu?

SITI: Dalam hati saya tidak sangka Datuk Khalid menghubungi saya dari kapal terbang.

M: Adakah ini cinta pertama Siti?

SITI: Saya boleh katakan ini betul-betul cinta sejati. Sebelum ini saya perlu mengenali ramai orang. Tapi untuk melihat kejujurannya, inilah orangnya.

M: Bagaimana Datuk melamar Siti?

SITI: Tarikh istimewa ialah 5 Julai lalu. Sebenarnya saya memang tidak tahu mengenai kunjungan Datuk Khalid ke rumah keluarga saya pada 23 Jun lalu. Memang saya tiada di rumah ketika itu (23 Jun) dan saya tidak berbohong dengan media. Bagaimanapun, selepas itu ada kunjungan susulan untuk merisik dan menyarungkan cincin sebagaimana dilaporkan akhbar tabloid tapi bukan pada 23 Jun.

M: Komen Siti mengenai kenyataan Tengku Zawyah dalam Harian Metro (semalam) mengatakan dia tersinggung dengan kenyataan Siti?

SITI: Saya dengan merendah diri meminta maaf. Apa yang dilaporkan ketika sidang media pada 17 Julai lalu, jauh di sudut hati tidak berniat mengambil alih tanggungjawabnya sebagai ibu kepada anak-anak Datuk Khalid. Apa yang saya lakukan ialah menjawab soalan media dengan positif. Mungkin ia kurang jelas kerana agak ringkas. Saya faham bahawa saya tidak akan dapat menggantikan tempatnya.

M: Adakah anak ketiga Datuk, Ashraf ‘anak ayah’ kerana hadir di majlis sidang media khas pada 17 Julai dan difahamkan menjadi satu-satunya anak Datuk yang akan hadir pada hari perkahwinan nanti?

DK: Saya ada empat anak. Anak sulung saya di Australia manakala anak kedua, ketiga dan keempat bersama ibu mereka. Mereka semua sudah berjumpa Siti termasuk yang di Australia dan tiada seorang pun daripada mereka yang tidak merestui perkahwinan saya.

Saya juga tidak pernah menghalang mereka untuk menghadiri perkahwinan saya nanti, malah mereka mahu hadir kerana saya ayah mereka.

Tapi pada waktu sama mereka perlu menjaga hati ibu mereka. Saya bangga kerana mereka berbuat demikian dan mahu menemani ibu mereka bercuti. Anak bongsu saya berusia lapan tahun dan masih kecil, jadi elok kalau yang sulung dan nombor dua ikut.

Bagaimanapun, anak ketiga, saya tidak pernah halang kalau mahu pergi bersama ibunya tetapi dia mahu tinggal. Saya juga tidak halang mana-mana anak saya datang tapi hanya seorang yang berpeluang datang. Ia bukan satu isu di sini.

M: Apa nasihat Datuk kepada bekas isteri?

DK: Saya minta dia bersabar dan tabah hadapi dugaan. Semua ini ada hikmahnya. Jodoh, pertemuan dan ajal maut di tangan Tuhan. Saya doakan dia bahagia dan selamat di dunia dan akhirat. Insya-Allah, saya tidak akan berhenti menolongnya kerana dia tetap ibu kepada anak-anak saya.

M: Kata orang apa yang kita lakukan hari ini akan datang semula kepada kita. Apakah Siti bersedia berdepan segala kemungkinan itu?

SITI: Insya-Allah, saya berpegang kepada Yang Satu. Apa yang penting niat. Jauh di sudut hati, segala tuduhan dan kata-kata orang saya sudah fikir semua itu.

Saya faham perlu berkongsi kehidupan dengan anak-anak Datuk Khalid. Itu juga sudah saya fikirkan. Saya juga perlu bersabar mengharungi kehidupan yang akan dilalui dan sedar pelbagai dugaan yang akan dihadapi.

M: Apakah Datuk bersedia mengubah fikiran jika anak-anak Datuk menghalang perkahwinan ini?

DK: Jika mereka punya alasan yang kukuh dan ada alasan yang perlu saya pertimbangkan.

No comments: